Sunday, November 7, 2010

Sejarah Uma Vaha - Chau Bilong & Tanyang Dungau

CHAU BILONG DAN TANYANG DUNGAU

Sebagai permulaan untuk berpindah ke sebelah batang Balui, Chau Bilong serta kerluarganya yang terdekat meneroka tanah untuk berhuma melepasi sempadan iaitu Long Item di antara Indonesia dan Sarawak. Orang kebanyakkan pun berhuma tidak melepasi sempadan iaitu Long Marong. Pada tahun itu padi mereka yang berhuma di sebelah Long Item mengeluarkan hasil yang sangat banyak manakala mereka yang berhuma di sebelah Long Marong pula tidak begitu berhasil. Tahun berikutnya semua penduduk berpakat dan bersama-sama meneroka ke sebelah Long Item. Dalam pada masa itu, ada pemimpin-pemimpin lain yang Uma Vaha yang kurang setuju dengan rancangan Tingai Bit dan Ajan Bilong. Oleh yang demikian mereka melaporkan tentang penerokaan tanah oleh penduduk melepasi sempadan. Bertindak di atas laporan tersebut, seluruh penduduk dipanggil berkumpul dan disoal-siasat. Apabila disoal siapa ketua yang membawa mereka meneroka ke sebelah Long Item akhirnya golongan-golongan yang tidak menyetujui rancangan perpindahan ini menunding jari ke arah Chau Bilong.
Ditanya kenapa dia membawa mereka meneroka ke sebelah Long Item, Chau Bilong menjawab bahawa tanah di Long Item sangat subur dan telah terbukti memberi hasil bumi yang lumayan kepada penduduk kampung. Wakil kerajaan Indonesia yang mentadbir wilayah itu yang bernama Patilaya atau lebih dikenali sebagai Tuen Sitek oleh masyarakat setempat kerana tabiatnya yang gemar menyedut hingusnya menegah mereka daripada terus meneroka ke sebelah Long Item dan kembali semula ke Indonesia kerana bimbang kerajaan Sarawak yang diperintah oleh British ketika itu mengetahui hal itu. Walaupun begitu, Chau Bilong tetap berkeras untuk terus meneroka lebih jauh lagi ke tanah Sarawak. Tidak dapat berbuat apa-apa maka wakil pemerintah Indonesia itu pun mencadangkan agar Chau Bilong pergi memohon kebenaran daripada pihak British untuk meneroka tanah di Long Item. Chau Bilong meminta diberi surat sokongan daripada wakil Indonesia itu tetapi tidak diberikan kerana mereka beranggapan tindakkan Chau Bilong itu adalah semata-mata untuk dirinya sendiri dan semua risikonya harus beliau juga yang menanggungnya.
Perbincangan sulit pun diadakan dikalangan pemimpin-pemimpin masyarakat Uma Vaha yang mempunyai hasrat untuk berpindah ke tanah Sarawak dan mereka bersetuju untuk mengutuskan Chau Bilong dan Tanyang Dungau sebagai mengetuai rombongan untuk pergi berjumpa dengan Residen Bahagian Sibu kerana Kapit dan Belaga adalah terletak di dalam bahagian Sibu ketika itu iaitu Tuan Philip.
Hasil perbincangan itu, Tuan Philip bersetuju untuk menerima mereka sebagai sebahagian daripada rakyat di tanah jajahannya. Tuan Philip menyetujui mereka untuk menjadi sebahagian daripada rakyat Negara Sarawak ketika itu kerana mungkin beberapa sebab. Pertama, Long Item adalah terletak disempadan dengan Kalimantan tidak diduduki dan memerlukan orang untuk menjaga sempadan. Dengan mengiktiraf kependudukan masyarakat Uma Vaha di situ maka orang-orang daripada Kalimatan dilihat tidak akan sewenang-wenangnya menceroboh dari sempadan. Ini juga secara langsung akan mengukuhkan kedudukkan Inggeris di situ. Walaubagaimanapun, Tuan Philip memberi pesanan bahawa bukan pihak Inggeris yang menghasut penduduk Uma Vaha berhijrah ke Sarawak tetapi itu adalah atas kerelaan penduduk Uma Vaha sendiri kerana tidak mahu ada pertikaian dengan pihak pentadbir di Kalimantan. Tuan Philip juga berpesan supaya penduduk Uma Vaha yang ada di Long Item perlu berpindah ke hilir kerana bimbang pihak Kalimantan akan datang memujuk mereka untuk kembali semula ke Kalimantan. Kebimbangan ini ada asasnya apabila pada satu ketika seluruh pemimpin-pemimpin telah datang ke Long Item dengan hantaran-hantaran seperti gong (tawak), bayeng poq (parang ilang), tajau dan lain-lain hantaran yang dianggap berharga untuk memujuk supaya Uma Vaha di Long Item kembali semula ke Kalimantan.

No comments:

Post a Comment