Sunday, November 7, 2010

Sejarah Uma Vaha - Penyebar Keamanan

PENYEBAR KEAMANAN

Pada zaman dahulu masyarakat Dayak di Borneo terkenal dengan budaya ngayau atau memenggal kepala musuh. Adat ini adalah adat kebanggaan setiap dari suku masyarakat Dayak termasuklah masyarakat Uma Vaha. Sesiapa di kalangan masyarakat Uma Vaha yang berjaya memenggal paling banyak kepala musuh, maka dia akan diangkat menjadi pemimpin masyarakat ini kerana keberanian dan kepahlawanannya dipercayai mampu melindungi masyarakat Uma Vaha daripada ancaman puak lain.
Pucuk kepimpinan Uma Vaha silih berganti dan apabila tiba giliran seorang pemimpin Lusat, keamanan mula terpancar dari cara beliau memerintah. Lusat bertanggungjawab membawa ketua-ketua masyarakat dayak di Borneo berkumpul dan membuat perjanjian damai di Kapit sekitar tahun 30an. Sebilah “Bayeng Poq” atau lebih dikenali dengan panggilan Parang Ilang dihadiahkan oleh masyarakat Uma Vaha yang mewakilkan Lusat ke perjanjian damai (Petutong) kepada pemerintah pada ketika itu. Pihak pemerintah iaitu Rajah Brooke ketika itu sangat-sangat menghargai pemberian sehinggakan gambar parang ilang tersebut diabadikan di atas wang kertas Seringgit ($1) pada ketika itu. Mata wang kertas The Government of Sarawak yang di muka belakangnya diabadikan gambar Parang Ilang yang dihadiahkan oleh pemimpin Uma Vaha, Lusat kepada kerajaan Brooke. Wata wang ini dikeluarkan pada 1 January 1935.
Ketika upacara itu diadakan, semua pemimpin masyarakat batang Balui dan sebelah Kalimantan pada ketika itu datang bersama-sama. Semuanya menunggu di seberang bandar Kapit dan tidak berani hendak ke seberang sehinggalah pemimpin Uma Vaha, Lusat itu tiba barulah semua pemimpin masyarakat batang Balui dan sebelah Kalimantan naik ke seberang dan masyarakat Iban sangat menghormati Lusat sebagai pemimpin Uma Vaha kerana masyarakat Uma Vaha pernah menyelamatkan sekumpulan kaum Iban yang sedang lari dikejar musuh. Lusat diberi penghormatan sebagai hulu/kepala untuk naik ke jeti pekan Kapit ketika itu dan diberi sambutan lebih istimewa oleh pemimpin masyarakat Iban berbanding ketua-ketua suku kaum yang lain.

No comments:

Post a Comment